17FEB |
USM SEDIA JADI PUSAT PENGURUSAN BANJIR |
|
OMAR OSMAN (tiga dari kiri) bertukar dokumen Geoffry Wilson (empat dari kiri) sambil disaksikan Nor Azazi Zakaria (dua kiri) dalam majlis menandatangani MoU antara USM dengan HR Wallingford Ltd. di Kota Bharu, Kelantan semalam.
KOTA BHARU 16 Feb. – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menjadi pusat pengurusan bencana alam negara terutama di Kelantan kerana universiti itu mempunyai infrastruktur lengkap dan tenaga kepakaran yang boleh berkhidmat pada bila masa-masa. Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman berkata, kampus dan hospital miliknya di Kubang Kerian, di sini telah dipersiapkan untuk menghadapi sebarang bencana termasuk bekalan air bersih terjamin dan tenaga elektrik sokongan sendiri. Malah beliau berkata, helikopter juga boleh mendarat dengan selamat di padang Kampus Kesihatan USM untuk mengangkut bantuan dan pesakit tanpa perlu menggunakan helipad biasa. “Kira-kira 100 'airlift' kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya dilakukan dengan selamat di padang USM semasa operasi bantuan banjir baru-baru ini. “Kita juga ada tiga telaga tiub dan simpanan 60,000 liter air bersih terawat pada setiap masa yang mana jika bekalan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) terputus, air dalam tangki akan terus masuk ke dalam sistem. “Malah tujuh set jana kuasa yang kita ada boleh membekalkan elektrik sekurang-kurangnya selama tiga hari sekiranya bekalan elektrik terputus,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM dengan HR Wallingford Limited (HR Wallingford) dari United Kingdom (UK) di sini hari ini. HR Wallingford diwakili Pengurus Pembangunan Perniagaan Antarabangsanya, Geoffry Wilson manakala REDAC USM diwakili Pengarahnya, Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria. Mengulas lanjut, Omar berkata, agensi-agensi yang bertanggungjawab ketika bencana boleh menyelaraskan operasi mereka dari USM tanpa masalah dan pihaknya bersedia sepenuhnya memberi sokongan tenaga termasuk pakar dalam kalangan warga universiti. “Kita bukan sekadar mahu menjadi universiti yang boleh menjaga diri sendiri ketika bencana bahkan berupaya memberi bantuan dan perkhidmatan kepada semua pihak. “Sekarang kita sedang sediakan prosedur operasi standard (SOP) bencana lengkap untuk warga universiti bertindak jika bencana berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya. Dalam pada itu, Omar memberitahu, tujuan utama kerjasama dengan HR Wallingford yang merupakan badan penyelidik dan perundingan kejuruteraan hidraulik persekitaran sejak 1947 itu adalah untuk membantu kerajaan mencari penyelesaian terbaik menangani bencana banjir besar. |