Skip to main content

REDAC Logo UNESCO

TUNJANG LESTARI - SISTEM SALIRAN BIOEKOLOGIKAL (BIOECODS): PILOT SALIRAN LESTARI NEGARA

DSC04317

19 September 2023

Kepesatan pembangunan dan perindustrian dikebanyakkan kawasan perbandaran, hasil daripada pertumbuhan ekonomi di seluruh negara, telah memberi sedikit kesan dan impak yang ketara terhadap alam sekitar, terutamanya seperti peningkatan aliran puncak, penurunan kualiti air, penyingkiran tumbuhan riparian dan ancaman hidupan akuatik.  Kesan daripada perubahan ini, secara signifikannya, telah membawa kepada kemerosotan persekitaran sungai, tasik dan pantai sedia ada. Di Malaysia, pendekatan pengurusan air ribut yang konvensional telah lama diamalkan secara meluas, dengan membenarkan pemaju membina parit, membesarkan dan meluruskan sungai dan parit untuk memenuhi keperluan akibat peningkatan aliran di kawasan tadahan.

Kebiasaannya, parit tanah dinaiktaraf dengan menggunakan saluran konkrit, yang mana bertujuan untuk memaksimumkan kapasiti aliran dan mengubah sistem saliran semulajadi. Pendekatan tradisional ini tidak berkesudahan selagi pembangunan diteruskan, yang pada akhirnya, sungai perlu dibesarkan untuk meningkatkan aliran air larian permukaan yang semakin bertambah. Sebagai akibatnya, kerajaan perlu membelanjakan jutaan ringgit untuk mengatasi banjir kilat disebabkan oleh amalan kaedah tradisional yang membenarkan air larian permukaan yang terhasil dari kawasan yang dibangunkan dialirkan terus ke dalam parit atau sungai di hilirnya.


DSC04175

DSC04200

Bagi mengatasi masalah ini, satu kaedah pengurusan air ribut yang lebih mampan perlu direkabentuk agar masalah banjir dan isu-isu lain yang berkaitan dengan air larian ribut dapat diselesaikan. Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Malaysia, telah mengorak langkah, dengan memperkenalkan Manual Saliran Mesra Alam atau MSMA pada tahun 2000, yang menggantikan manual saliran sebelumnya yang telah diterbitkan pada tahun 1975. MSMA merupakan pendekatan baharu, yang mana pemaju dikehendaki mengekalkan aspek kualiti dan kuantiti air larian pada tahap yang sama sebelum dan selepas pembangunan dijalankan.

Selari dengan misi dan visi ini, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama bersama JPS, telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan sistem saliran pilot negara, yang dikenali sebagai Sistem Saliran Bio-Ekologikal (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Konsep sistem BIOECODS ini adalah berpandukan sepenuhnya daripada MSMA iaitu pengekalan dan pengurusan kitaran air hujan yang lebih cekap dan lestari. Kaedah ini menggunakan pendekatan kawalan pada punca, pengecilan aliran dan rawatan air melalui komponen-kompenan yang ada seperti Alur Berumput (Swale), Kolam Takungan Kering (Dry Pond), Kolam Takungan Basah (Wet Pond), Kolam Tahanan (Detention Pond) dan Sistem Tanah Bencah Buatan (Constructed Wetland Systems). BIOECODS merupakan pendekatan alternatif dalam pengurusan air larian hujan yang lebih mesra alam dan mampan untuk memenuhi konsep kawalan kuantiti dan kualiti air larian hujan. Aspek kawalan kuantiti air larian hujan berteraskan pengurusan pada punca menerapkan elemen kejuruteraan penyusupan, penstoran dan melambatkan aliran. Komponen penyusupan dan komponen penstoran dapat memperlahan aliran dan akan dapat meningkatkan proses pembersihan air larian. Oleh itu, kawalan kualiti air larian hujan akan dapat dicapai. Penyingkiran bahan pencemaran melibatkan rawatan air larian hujan melalui satu siri amalan pengurusan terbaik (BMP’s).

DSC04204

DSC04298

Kini, genap 22 tahun BIOECODS beroperasi sejak ia menjadi projek perintis negara dalam Kampus Kejuruteraan, USM. Pengoperasian sistem ini berjalan dengan baik sehingga ia digunapakai secara meluas di dalam negara. Antara impak secara fizikal ialah ianya telah digunapakai pada lebih 30 projek dalam negara seperti di Klinik Kesihatan Perda, Hospital Bahagia Taiping, Balai Polis Pasir Mas dan satu projek berskala mega iaitu projek pembangunan perumahan Kwasa Damansara, Selangor. BIOECODS telah menjadi salah satu contoh ‘living lab’ kepada warga usm khasnya, bahkan menjadi rujukan serta kunjungan daripada pelawat-pelawat dalam dan luar negara. Pelawat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang agensi teknikal, pusat pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGOs) dan pelajar telah datang melawat dan mempelajari bagaimana sistem ini beroperasi.

Antara impak lain yang dibawa dengan adanya sistem BIOECODS ini, adalah ianya memperbaharui persekitaran dan habitat semulajadi, apabila ia menjadi daya tarikan kepada Burung Hijrah (Migration Bird) yang datangnya dari pelbagai arah benua seperti dari Eropah, Afrika serta Asia. Burung Raja Sulaiman (Eurasian Hoopoe atau lebih dikenali sebagai Burung Hudhud), Upupa epops, yang juga dikenali sebagai burung rasmi bagi negara Israel turut dilihat antara unggas yang berterbangan bebas di dalam persekitaran yang lestari ini. Burung ini merupakan salah satu daripada haiwan terlindung di Malaysia. Turut kelihatan Pucung Serandau (Purple Heron) dan Helang Merah (Brahminy Kite) yang dipilih sebagai ikon kelestarian USM.

Sistem lestari BIOECODS ini turut diperakui melalui beberapa pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Malah, REDAC juga diiktiraf sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang mempengerusikan SDG 6 (Air dan Sanitasi) bagi wilayah Asia dan Pasifik. Sesuai dengan penganugerahan ini, kualiti air yang terhasil dari sistem BIOECODS ini mencapai pada tahap Kelas IIB, yakni hanya memerlukan rawatan yang minima sebelum ianya boleh diminum. Tidak terhenti di sini, bagi langkah ke hadapan seterusnya, REDAC mengharapkan sokongan dan sumbangan yang kukuh dari warga Kampus Kejuruteraan agar REDAC dan sistem BIOECODS ini terus diusaha dan dipelihara supaya kekal relevan dan rujukan kepada dalam dan luar negara. REDAC mula mengetengahkan konsep Potable and Non-potable Water Use, dengan merancang untuk mengadakan sistem dwi paip, yang membolehkan air dari kolam rekreasi dan kolam tadahan digunapakai bagi penggunaan pelajar di asrama contohnya untuk aktiviti pengepaman tandas, penyiraman tumbuhan, membasuh kereta atau motor dan untuk kegunaan luaran yang lain. Ini secara tidak langsung akan membantu USM pengurusan air yang lebih cekap dan efisien serta dapat meningkatkan kedudukan kelestarian di mata dunia.

dr remy

 Petikan diambil daripada Tunjang Lestari - Kampus Kejuruteraan USM

 

Contact Us

RIVER ENGINEERING AND URBAN DRAINAGE RESEARCH CENTRE (REDAC)
Engineering Campus, Universiti Sains Malaysia
14300 Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan,
Pulau Pinang, Malaysia

Tel: +604-5995461/5995464
Fax: +604-5996789
Email : ceremy@usm.my / eena@usm.my

Follow us

Instagram
Twitter
Youtube
Linkedin