Skip to main content

REDAC Logo UNESCO

18DEC  

DUA TASIK DI USM BERPOTENSI SELESAIKAN MASALAH BANJIR

   

GEORGE TOWN: Tasik Aman dan Tasik Harapan di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini dilihat berpotensi dalam menyelesaikan masalah banjir, kekotoran sumber air dan ketidakcukupan bekalan air untuk kegunaan harian di kawasan sekitar.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM, Prof Dr Nor Azazi Zakaria berkata untuk tujuan berkenaan, kedua-dua tasik itu yang dibina daripada sebahagian Sungai Gambir, harus diubah suai dan dijadikan kolam takungan dengan keseluruhan projek memerlukan sekitar RM6 juta.

Kita kini dalam proses terakhir mengenal pasti ‘filter’ yang sesuai untuk merawat keadaan air bawah tanah (di kedua-dua tasik). Ini bagi membolehkan air diguna pakai untuk seluruh kampus dan jika kita (REDAC) berjaya, kita dapat jimatkan bil air sebanyak RM600,000 setahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya sistem kolam takungan yang diwujudkan itu juga membolehkan limpahan air dari Sungai Gambir disalurkan ke kolam berkenaan sebelum dialirkan keluar, sekali gus menangani masalah banjir di kawasan kampus serta di sekitar Sungai Dua dan Batu Uban.

Nor Azazi berkata pada masa ini, kedua-dua tasik itu tidak berfungsi dengan baik disebabkan reka bentuknya bukan untuk menampung air bagi mitigasi banjir selain keadaan air yang tidak mengalir keluar seperti sepatutnya.

Dari segi sistem ekologi air, semakin jauh air mengalir kualitinya akan lebih baik di samping meningkatkan kadar oksigen terlarut, katanya.

Jika kita dapati air di dalam tasik itu berwarna tertentu, ia sebenarnya telah mati (tidak berfungsi),” katanya.

Pensyarah kejuruteraan geoteknikal itu berkata perancangan REDAC ialah meningkatkan kualiti air di kedua-dua tasik tersebut sekurang-kurangnya ke kelas dua.

Inilah peluang terbaik, jika kita dapat dana sekurang-kurangnya RM6 juta, kemungkinan besar kita dapat wujudkan satu sistem yang menarik yang boleh menyelesaikan ketiga-tiga isu yang saya nyatakan tadi.

Saya berharap pihak-pihak berwajib sama ada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan mahupun badan-badan bukan kerajaan yang berminat boleh menjadi rakan kongsi untuk melancarkan projek ini pada bila-bila masa,” katanya.

Katanya REDAC turut menjalinkan hubungan rapat dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dalam usaha mengumpul dana tersebut.

Pada masa sama, Nor Azazi berkata USM juga dalam usaha menjadikan Tasik Aman dan Tasik Harapn sebagai produk ekopelancongan yang mempunyai sistem saliran berteknologi tinggi dan sistematik.

Kita juga akan wujudkan tanaman-tanaman berbentuk mikro di pinggir-pinggir tasik bagi menggalakkan kehidupan akuakultur yang boleh mengundang pelbagai plankton dan sebagainya yang seterusnya dapat menjadikan tasik itu hidup kembali,” katanya.

Tasik Harapan yang berkeluasan 0.8 hektar manakala Tasik Aman pula berkeluasan 0.6 hektar itu terletak berdekatan dengan Masjid USM dan kawasan pembangunan di Sungai Dua, di sini. — Bernama

Source: Utusan Borneo Online

Contact Us

RIVER ENGINEERING AND URBAN DRAINAGE RESEARCH CENTRE (REDAC)
Engineering Campus, Universiti Sains Malaysia
14300 Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan,
Pulau Pinang, Malaysia

Tel: +604-5995461/5995464
Fax: +604-5996789
Email : ceremy@usm.my / eena@usm.my

Follow us

Instagram
Twitter
Youtube
Linkedin