Skip to main content

REDAC Logo UNESCO

SESI DIALOG TERBUKA PELAKSANAAN NBS DI MALAYSIA MELALUI BENGKEL ANJURAN REDAC DAN WWF

DSC 9733

NIBONG TEBAL, 24 Julai 2023 – Bengkel ‘Nature-Based Solutions (NBS): Bridging the Knowledge Gap’ menjadi medium dialog secara terbuka dengan objektif untuk meminimumkan jurang pengetahuan dan cabaran dalam pelaksanaannya di Malaysia.

Diadakan secara bersama antara Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Wetlands International Malaysia, Water Watch Penang, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia serta WWF-Malaysia, bengkel ini diadakan seiring dengan usaha semua pihak ke arah pelaksanaan NBS di negara ini.

Menurut Pengarah REDAC, Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol, cetusan idea dalam penganjuran bengkel ini adalah terbaik kerana ianya akan membolehkan peserta untuk melihat sendiri sistem perintis Bio-Ecological Drainage System (BIOECODS) yang dibangunkan REDAC.

DSC 9753

DSC 9880

“Projek ini dilaksanakan hasil idea serta usaha mantan pengarah pusat kecemerlangan ini pada waktu itu, Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria dan ianya sudah menjadi kegunaan Kampus Kejuruteraan USM untuk jangkamasa lebih 20 tahun.

“Apatah lagi projek Nature-Based ini masih beroperasi dengan baik sehingga ke hari ini di samping telah menjadi rujukan kepada pelbagai agensi kerajaan, swasta yang bukan sahaja dari dalam Malaysia malah dari luar negara juga,” kata Profesor Madya Dr. Remy.

Selain daripada itu, beliau turut berharap agar objektif di sebalik penganjuran bengkel ini dapat dicapai melalui penglibatan kepakaran daripada agensi lain di Malaysia seperti Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).

“Semoga kerjasama ini juga akan membuka peluang kepada lebih banyak penerokaan bidang kelestarian berasaskan alam semula jadi seperti antara kita semua di masa akan datang,” tambah beliau lagi.

DSC 9896

DSC 9974

Ketua Pasukan Air Tawar WWF Malaysia, Datin Daria Mathew Abdullah ketika ditemui selepas sesi pertama bengkel berkata bahawa pemilihan USM sebagai rakan kerjasama dibuat setelah menilai akan kepakaran serta sumbangannya dalam bidang NBS atau Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi ini.

“Pada awal perbincangan serta perangkaan mengenai bengkel ini dahulu, kelainan adalah perkara utama yang dipertimbangkan oleh pihak kami di WWF.

“Apabila perbincangan dilakukan dengan lebih lanjut dengan pihak berkepentingan (stakeholders) pula, perhatian telah kami halakan kepada sesebuah program atau sistem yang bukan sahaja telah dilaksanakan, tetapi juga sudah berjaya memberi manfaat kepada semua pihak.

“Menurut kami, melalui program yang bercirikan kepada perkara seperti berikut akan membuka ruang yang lebih luas akan penyampaiannya dan menjadi penyumbang kepada proses berfikir setiap daripada individu yang terlibat,” kata Datin Daria.

“Berdasarkan perbincangan tersebut dan berlandaskan kepada cadangan beberapa pihak lain pada waktu itu di samping kejayaan serta pencapaiannya dalam sistem yang telah dibangunkan ini, kita membuat kesimpulan bahawa REDAC adalah calon paling ideal.

DSC 0032

DSC 9962

“Ruang pembelajaran secara dua hala yang interaktif, terutamanya melalui perkongsian secara langsung oleh pakar sistem ini dan peserta pasti dapat dilaksanakan sepanjang bengkel berlangsung,” tambah beliau.

Dalam pada itu, perintis dalam bidang Sustainable Stormwater Management di Malaysia, Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, dengan menggunakan konsep Control at Source, BIOECODS bukan sahaja telah berjaya menyelesaikan masalah pencemaran air, tetapi juga masalah banjir di Kampus Kejuruteraan sehingga ke hari ini.

“Dengan kerjasama pintar yang diperolehi dari JPS, BIOECODS berjaya dilaksanakan di Kampus Kejuruteraan pada 2001 dan menjadi projek perintis seumpamanya di Malaysia,” kata Dato’ Dr. Nor Azazi.

Bengkel Nature-Based Solutions (NBS): Bridging the Knowledge Gap’ diadakan selama dua hari iaitu pada 24 hingga 25 Julai 2023 dan menampilkan sembilan (9) pembentang yang hebat dan berpengalaman luas seperti Ir Ts DR Chang Chun Kiat (REDAC USM), Puan Normaliza Noordin (Perbadanan Putrajaya), Puan Yong Huai Mei (Wetlands International Malaysia), Dr Chee Su Yin - penceramah ucaptama (CGSS USM), Ts Gs Anizawati Ahmad dan Cik Alia Izzati Hassan (NAHRIM), Ir Tan Woon Yang (HTC JPS) serta Encik Arhwin Kalai Chelvan dan Encik Tommy Cheo (WWF-Malaysia).

Teks:  Siti Fairuz Juiani dan Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

Contact Us

RIVER ENGINEERING AND URBAN DRAINAGE RESEARCH CENTRE (REDAC)
Engineering Campus, Universiti Sains Malaysia
14300 Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan,
Pulau Pinang, Malaysia

Tel: +604-5995461/5995464
Fax: +604-5996789
Email : ceremy@usm.my / eena@usm.my

Follow us

Instagram
Twitter
Youtube
Linkedin